Friday, April 30, 2010

Mari Belajar Berkenaan Dengan Otak




Hari ini aku akan membentangkan berkenaan otak manusia...otak merupakan organ yg diletak tempat paling tertinggi sekali berbanding organ lain.
Menurut Roger Sperry dan Robert Orntein, pengkaji-pengkaji dari Institut Teknologi California yang telah memenangi hadiah Nobel mengemukakan bahawa otak kita boleh dibahagikan kepada hemisfera kiri dan kanan. Hemisfera-hemisfera ini lebih popular digelar sebagai otak kiri dan otak kanan.


Kedua-dua hemisfera otak disambungkan dengan satu rangkaian lebih kurang 300 juta fiber saraf yang kompleks yang dipanggil korpus kalosum. Dalam kajian Sperry dan rakan-rakannya, karpus kalosum pesakit telah diputuskan melalui satu pembedahan. Tanpa pertalian saraf, Sperry mendapati setiap otak berfungsi secara berasingan dan tidak terdapat koordinasi antara fungsi-fungsi mereka. Ini dapat dilihat apabila kedua-dua tangan pesakit berebut untuk respons kepada satu tugas yang diberi. Dapat disimpulkan bahawa korpus kalosum membolehkan satu otak berkomunikasi dan berinteraksi dengan otak yang sebelah lagi.


Bagaimanakah kita mengetahui tangan kiri dikawal oleh otak kanan dan tangan kanan dikawal oleh otak kiri? Kes orang yang mengalami kecederaan otak diteliti. Sekiranya bahagian kiri otak mendapat kecederaan, didapati kesemua anggota badan di sebelah kanan akan mengalami paralisis atau kelumpuhan atau kehilangan kebolehan fungsi badan tertentu sama ada separa atau sepenuhnya.
Fungsi-fungsi badan yang akan menerima kesan tersebut ialah seperti kehilangan ingatan atau kebolehan bercakap atau bertutur. Sebaliknya, sekiranya kecederaan berlaku pada bahagian kanan otak, kemungkinan paralisis akan berlaku pada anggota kiri badan. Di samping itu, gangguan akan berlaku pada persepsi visual dan seseorang tidak dapat membuat anggaran jarak yang tepat serta kehilangan ingatan terutamanya tujuan melakukan sesuatu atau mengambil sesuatu tindakan.





Secara umumnya, bahagian kiri otak memainkan peranan utama dalam pemprosesan bahasa, logik-matematik dan menyusun pembelajaran dalam urutan yang bermakna. Sebaliknya, bahagian otak kanan pula lebih tertumpu kepada ritma, muzik, visual, khayalan dan lain-lain yang tergolong dalam aktiviti kreatif.

Namun begitu, pengkhususan ini bukanlah secara mutlak. Ada masanya juga berlaku pertindihan fungsi antara kedua-dua otak. Dalam tugas harian, Sperry mendapati bahawa apabila situasi memerlukan respon cepat, hemisfera otak yang mendapat mesej terdahulu akan memberi respon terlebih dahulu. Secara realiti, otak akan berfungsi mengikut kaedah yang difikirkan paling sesuai.

Kecenderungan penggunaan hemisfera otak tertentu dikatakan dominan otak. Kebanyakan daripada kita lebih dominan dalam penggunaan otak kiri. Kajian menunjukkan bahawa 90% daripada manusia menggunakan tangan kanan. Manusia yang menggunakan tangan kanan lebih cenderung menggunakan otak kirinya yakni bahagian analitikal otak. Ini adalah kerana masyarakat dan sistem pendidikan lebih mengutamakan pemikiran otak kiri.




Kepentingan Otak : Kiri atau Kanan?
Persoalan yang mungkin timbul ialah : otak manakah (kanan atau kiri) yang lebih penting? Sebenarnya kedua-dua otak kanan dan kiri adalah sama penting. Walaupun kedua-dua hemisfera mendominasi aktiviti tertentu, kedua-duanya terlibat di dalam pemikiran dan pentafsiran maklumat pada masa yang sama. Orang yang cenderung menggunakan otak kiri lebih suka pentafsiran maklumat langkah demi langkah. Mereka juga digelar jenis pelajar atau pemikir linear. Mereka yang cenderung menggunakan otak kanan pula perlu melihat keseluruhan gambaran besar. Mereka digelar pemikir global.

Bagi contoh apabila kita mendengar lagu, otak kiri akan terfokus kepada lirik lagu manakala otak kanan akan memproses melodi lagu.




Malangnya, masyarakat dan pendidikan kita masih lebih mengutamakan penggunaan otak kiri yang dicerminkan dalam pembelajaran harian. Kebanyakan daripada aktiviti kerja mahupun pembelajaran di sekolah adalah dalam bentuk penulisan atau lisan. Kedua-dua aktiviti ini termasuk penekanan kepada subjek sains dan matematik adalah aktiviti otak kiri. Ketidakseimbangan ini boleh dibaiki dengan melibatkan aktiviti otak kanan seperti muzik, kesenian, imaginasi, gambaran dan lain-lain aktiviti otak kanan. Aktiviti otak kanan dapat membantu mengurangkan tekanan hidup atau kerja seseorang.

Ini dapat dijelaskan mengapa pengajaran guru dengan hanya satu nada sahaja, bukan sahaja tidak dapat mengekalkan tumpuan pendengarnya, ia juga tidak lama kekal dalam ingatan pendengar. Ini adalah kerana stail kuliah hanya mengaktifkan otak kiri. Sekira stail pengajaran dilanjutkan, cera pemikiran otak akan membentuk tabiat "malas" dan hanya menggunakan otak kiri untuk memikir.

Melalui pelaziman pendidikan dan pengalaman hidup, otak kanan semakin bertambah puas membiarkan otak kiri untuk respon kepada rangsangan. Tabiat ini seterusnya mungkin menghadkan cara kita menilai sesuatu perkara dan membuat keputusan dalam cara lama atau lazim. Dalam erti kata lain, tabiat ini akan menghalang potensi intuitif dan kreativiti otak kanan daripada berkembang maju.

Tabiat menyelesaikan masalah dengan menggunakan otak tertentu amat berguna sekiranya masalah yang hendak diselesaikan mempunyai persamaan dengan masalah yang pernah diselesaikan dahulu dengan jayanya. Namun begitu, bagi masalah baru kita akan cenderung menghadkan pemikiran kita kepada kebergantungan ke atas penyelesaian yang pernah diguna pada masa lepas. Kali ini, penyelesaian yang dipilih kemungkinan tidak sesuai.

Dalam keadaan ideal atau kedua-dua otak diguna secara seimbang, didapati otak kanan akan respon terlebih dahulu kepada muka atau imej visual berbanding dengan perkataan atau bahasa. Ini dapat menerangkan mengapa dalam proses berkenalan dengan orang baru, lebih mudah muka seseorang itu "didaftar" dan diingati daripada namanya. Apabila bertemu semula dengan orang yang sama, kita sering menyatakan "Saya pernah lihat orang ini walaupun saya tidak ingat namanya..."

Kita harus merangsang hemisfera otak khusus untuk memenuhi keperluan atau menyelesai masalah tertentu. Saiz otak kiri harus lebih besar secara fizikal atau lebih aktif daripada otak kanan. Ini adalah penting bagi pengusaan bahasa. Otak kiri yang lebih besar memungkinkan seseorang membeza antara jenis-jenis bunyi yang didengarnya secara jelas. Mereka boleh mendengar pasti setiap sebutan suku kata dan perkataan dengan jelas. Sebaliknya seorang kanak-kanak dyslexia atau yang mempunyai disorder bahasa akan mendengar bunyi perkataan bertindihan dan samar-samar. Ini disebabkan saiz kedua-dua otak kiri dan kanan terlalu seimbang.





Dengan memahami keistimewaan fungsi setiap otak, kita boleh memaksimakan kuasa mental sepenuhnya apabila sedar menggunakan kedua-dua belah otak secara harmonis dan seimbang. Orang yang menggunakan kedua-dua otak dikatakan lebih seimbang dalam segala aspek kehidupannya. Menurut Ornstein (1984), bahagian otak yang lebih "lemah" atau kurang dikembangkan boleh dirangsang untuk berfungsi serentak dengan bahagian otak yang lebih "kuat". Keseimbangan inilah yang boleh menghasilkan pemikiran yang paling tajam dan seterusnya meningkatkan pembelajaran dan penyelesaian masalah. Hasilnya, kita dapat lihat daripada pemajuan dalam prestasi pelajar secara signifikan. Apabila keseluruhan otak terlibat secara aktif, pembelajaran akan menjadi lebih mudah dan cepat.




3 comments:

  1. ikin..besorkn skit tlsn tu...xnmpk aku nk bc nya...huhuhu..btw..vry intrstng entry...

    ReplyDelete
  2. hmm ok thanks 4 the advise tulip

    ReplyDelete